June 9, 2026

Menyusun Strategi: Mesyuarat Pengurusan Portfolio Pembangunan (MP3) & Lawatan Tapak ke UCAM

Menyusun Strategi: Mesyuarat Pengurusan Portfolio Pembangunan (MP3) & Lawatan Tapak ke UCAM

MENYUSUN STRATEGI, MEMPERKASA PERANAN & MENINGKAT UPAYA RISDA

Mesyuarat Pengurusan Portfolio Pembangunan (MP3) Bilangan 6 Tahun 2026 telah diadakan pada hari ini bertempat di Pejabat RISDA Negeri Melaka. Sesi perbincangan penting ini telah dipengerusikan oleh Encik Md Najip Ishak, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA.

Tujuan utama mesyuarat ini diadakan adalah untuk memantau prestasi pelaksanaan pelbagai program pembangunan serta menyelaras tindakan strategik ke arah memperkukuhkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Ia menghimpunkan barisan Pengarah Bahagian RISDA di bawah Portfolio Pembangunan berserta pegawai-pegawai kanan berkaitan bagi meneliti pencapaian semasa, meninjau kemajuan projek, serta merangka langkah penambahbaikan agar setiap inisiatif pembangunan mencapai sasaran yang ditetapkan.

LAWATAN TAPAK KE UCAM ALOR GAJAH

Pada sebelah petang, korum mesyuarat telah meluangkan masa mengadakan lawatan ke Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Alor Gajah. Kunjungan ini bertujuan untuk meninjau secara langsung kemajuan tapak rintis Projek Tanaman Getah Berskala Besar (TGBB) serta tapak Projek Agromakanan di Ladang UCAM, yang merangkumi:

  • Tanaman fertigasi para (Halia dan Terung)
  • Tanaman fertigasi Melon
  • Penternakan ikan air tawar

Sesi taklimat yang komprehensif mengenai pergerakan projek telah disampaikan oleh wakil daripada pihak UCAM dan RISDA Plantation Sdn. Bhd., selaku pihak pengurus dan operator bagi projek-projek berkenaan.

Lawatan ini jelas mencerminkan komitmen serta iltizam berterusan pihak RISDA dalam usaha memperkukuhkan pembangunan sektor komoditi, meneroka sumber pertumbuhan baharu, dan memperkasakan komuniti pekebun kecil menerusi pendekatan yang jauh lebih produktif, progresif, berdaya saing, serta mampan.

Artikel Berkenaan