October 27, 2026

RISDA dan UTeM Perkukuh Kerjasama TVET JELITA

Majlis kerjasama TVET JELITA antara RISDA UCAM dan UTeM dengan peruntukan latihan RM600000

RISDA–UTeM PERKUKUH KERJASAMA TVET JELITA, BUKA PELUANG KERJAYA GENERASI MUDA

MELAKA, 27 Oktober 2026 – RISDA melalui Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi memperluas peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi program JELITA.

Majlis Perasmian Penutup JELITA Open Day: 12 Hours Sprint Training telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan; YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi; YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, Naib Canselor UTeM; YB Tuan Haji Manndzri Haji Nasib, Pengerusi RISDA; serta YBhg. Datuk Zainal Azni bin Zulkifli, Ketua Pengarah RISDA.

Kerjasama strategik ini dimeterai menerusi pertukaran dokumen kolaborasi antara UCAM dan UTeM, sekali gus memperkukuh komitmen kedua-dua institusi dalam memperkasakan pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional generasi muda.

Melalui inisiatif ini, RISDA menyediakan peruntukan latihan berjumlah RM600,000 bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan kemahiran dan modal insan, khususnya dalam kalangan anak-anak pekebun kecil.

Program TVET JELITA dijangka membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk memperoleh kemahiran praktikal, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta membina laluan kerjaya yang lebih berdaya saing seiring dengan keperluan industri.

Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen RISDA dalam memperkasa masyarakat luar bandar, khususnya keluarga pekebun kecil, bukan sahaja melalui peningkatan pendapatan sektor pertanian, malah dengan menyediakan akses kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pembangunan kerjaya kepada generasi pewaris.

Kerjasama RISDA, UCAM dan UTeM ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta masa depan yang lebih terjamin bagi generasi muda negara.

Artikel Berkenaan