LAWATAN RISDA KE UCAM ALOR GAJAH: KUKUHKAN KERJASAMA AGROSTRATEGIK
Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) amat berbesar hati menerima lawatan rasmi delegasi RISDA ke tapak rintis Projek Tanaman Getah Berskala Besar (TGBB) serta Projek Agromakanan bertempat di Ladang UCAM, Alor Gajah.
Lawatan tapak tersebut melibatkan tinjauan ke atas pelbagai inisiatif agromakanan, yang merangkumi:
- Tanaman fertigasi para (Halia dan Terung)
- Tanaman fertigasi Melon
- Penternakan Ikan Air Tawar
Sepanjang lawatan ini, satu sesi taklimat komprehensif telah disampaikan oleh wakil daripada UCAM dan pihak RISDA Plantation Sdn. Bhd., yang bertindak selaku pengurus serta operator bagi projek-projek berkenaan.
Turut hadir menyerikan sesi lawatan ini ialah Encik Md Najip Ishak, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA. Kehadiran beliau adalah bagi meninjau kelancaran pelaksanaan program secara dekat serta menyelaras hala tuju strategik pembangunan projek tersebut pada masa akan datang.
Pihak UCAM sentiasa komited dalam memperkukuhkan lagi jaringan sinergi di antara pihak industri dan akademia demi menyokong kelangsungan pembangunan sektor agrosains negara yang mampan serta berdaya saing.













