Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Eksekutif Universiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM), Kamarudin Ani pada 11 Ogos lalu bagi meneroka potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Pertemuan tersebut memfokuskan kepada usaha memperkukuh Modul Pintar Botani dan Pensijilan Halal. Dalam sesi perbincangan itu, UCAM turut membentangkan cadangan tawaran kursus dan program pembangunan profesional yang bersesuaian dengan keperluan KEMAS, khususnya mencakupi bidang pertanian, agroteknologi, serta pembangunan kemahiran komuniti.
Menerusi pemerkasaan Modul Pintar Botani, kanak-kanak TABIKA KEMAS akan diberi pendedahan asas pertanian melalui aktiviti menanam, menjaga, dan menuai tanaman. Inisiatif yang dijenamakan semula pada 2018 ini bertujuan memupuk kesedaran awal mengenai kepentingan pemakanan sihat serta kelestarian alam sekitar.
Bagi bidang halal pula, kerjasama ini berpotensi mencetuskan inisiatif baharu merangkumi aspek latihan, peningkatan kompetensi, kefahaman mengenai pensijilan halal, pengurusan makanan, pematuhan standard, dan bimbingan berterusan kepada usahawan.
Jalinan kerjasama strategik ini diyakini mampu memberi nilai tambah yang signifikan kepada program sedia ada di bawah seliaan KEMAS, sekali gus membawa manfaat menyeluruh kepada kanak-kanak, ibu bapa, golongan usahawan, dan komuniti setempat.













