October 30, 2026

40 Siswa UCAM Sertai Program Sentuhan Kasih MADANI

Siswa siswi GPS UCAM bertugas dalam Program Sentuhan Kasih MADANI di Stadium Hang Jebat Melaka

Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup 2030

Seramai 40 orang siswa dan siswi Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) yang mewakili Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UCAM telah menyertai Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup 2030 bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Malaysia serta KPDN Negeri Melaka. Program ini berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Dalam program tersebut, GPS UCAM telah diberikan tanggungjawab sebagai urusetia pendaftaran dan pengagihan Bakul MADANI kepada para hadirin. Penglibatan ini memberikan peluang kepada siswa dan siswi UCAM untuk memperoleh pengalaman secara langsung dalam pengurusan program serta aktiviti kemasyarakatan.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh inisiatif kesejahteraan rakyat dan menangani cabaran kos sara hidup.

Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TR HEPA), staf Pejabat Timbalan Rektor HEPA dan Pengantarabangsaan serta Pn. Rubiah Abdullah yang bersama-sama memberikan sokongan terhadap penglibatan siswa dan siswi UCAM.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya KPDN Malaysia dan KPDN Negeri Melaka, atas peluang serta kepercayaan yang diberikan kepada GPS UCAM untuk bersama-sama menjayakan program ini.

Artikel Berkenaan