October 2, 2026

SLPM UCAM Berjaya Selesai Sesi Audit Pembaharuan Akreditasi KKM

SLPM UCAM Berjaya Selesai Sesi Audit Pembaharuan Akreditasi KKM

Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) UCAM yang bernaung di bawah pengurusan UCAM Halal Centre (UHC) telah melabuhkan tirai bagi sesi Audit Pembaharuan Akreditasi dengan jayanya pada hari ini.

Proses pengauditan yang teliti ini telah berlangsung di dua lokasi utama untuk menilai aspek kelengkapan dan operasi. Lokasi tersebut meliputi Bilik Pejabat SLPM bagi tujuan semakan dokumentasi rasmi, serta Bilik Latihan SLPM yang menjadi medan utama peserta menjalani kursus.

Penilaian audit ini telah dikendalikan oleh wakil Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Melaka, Ts. Mohamad Wafi bin Shamsudin. Delegasi BKKM telah disantuni oleh barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) SLPM yang komited, diketuai oleh Puan Mizan Fatihah, dengan dibantu oleh dua orang AJK iaitu Puan Noraidah dan Puan Siti Norsyuhadah.

Skop utama pengauditan kali ini memberikan tumpuan kepada beberapa elemen kritikal operasi, termasuklah keberkesanan perancangan dan pelaksanaan kursus Latihan Pengendali Makanan (LPM). Di samping itu, kecekapan sistem pengurusan dokumentasi serta tahap pemantauan berterusan turut dinilai secara menyeluruh bagi memastikan setiap kursus yang dianjurkan sentiasa menepati standard dan piawaian kualiti tertinggi yang ditetapkan oleh KKM.

Pihak SLPM UCAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Komitmen dan dedikasi semua pihak amat memainkan peranan penting dalam melancarkan proses pengauditan ini.

Artikel Berkenaan