August 13, 2026

Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Zon Sarawak 2026 Pacu Transformasi Ekonomi Luar Bandar

Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Zon Sarawak 2026 Pacu Transformasi Ekonomi Luar Bandar

Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Sarawak 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 8 dan 9 Ogos lalu sebagai platform perkongsian ilmu, teknologi, dan strategi bagi memperkukuh daya saing pekebun kecil di negeri ini.

Hari pertama konvensyen diserikan dengan pembentangan Model Transformasi RISDA (MTR) 2026–2030 oleh Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (BDPS) bagi memperincikan hala tuju agensi dalam mendepani cabaran industri. Turut ditekankan adalah penggunaan teknologi sektor huluan getah dan pengesyoran klon oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM), serta perspektif pengurusan komuniti sosioekonomi luar bandar yang dibawakan oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA).

Satu lagi agenda utama yang diketengahkan dalam konvensyen tersebut adalah peranan strategik RISDA sebagai Pembeli Getah Utama (Anchor Buyer) bagi menjamin dan memperkukuh rantaian pemasaran getah pekebun kecil dalam pasaran tempatan.

Bagi memastikan kelestarian pendapatan peserta, RISDA Sarawak telah membentangkan usaha pemerkasaan ekonomi luar bandar berpendapatan tinggi menerusi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan agromakanan, agar pekebun kecil tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil komoditi getah semata-mata.

Penganjuran konvensyen ini jelas mencerminkan usaha berterusan RISDA untuk memastikan pekebun kecil bukan sekadar menjadi penerima manfaat, sebaliknya bergerak bersama sebagai pemain utama dalam memacu transformasi industri getah dan ekonomi negara.

Artikel Berkenaan