Universiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh jaringan antarabangsanya menerusi inisiatif program Edu-Agrotourism @ UCAM dengan menerima kunjungan seramai 20 orang peserta dari Shanghai Ocean University, China.
Sepanjang lawatan tersebut, para delegasi berpeluang merasai sendiri pengalaman agro dan kebudayaan tempatan Malaysia yang unik. Antara pengisian aktiviti menarik yang disediakan untuk para peserta termasuklah:
- Memancing dan memberi makan kambing
- Menuai sayur sawi di ladang
- Mengenali dengan lebih dekat tanaman kelapa sawit serta demonstrasi menoreh getah
- Mempelajari keunikan langkah tarian tradisional Melayu
Bagi menambah lagi kemeriahan program persahabatan ini, para peserta dari China itu turut dijemput memeriahkan aktiviti sukaneka tarik tali bersama para pelajar UCAM.
Kunjungan antarabangsa ini kemudiannya diakhiri dengan sesi taklimat pengenalan mengenai UCAM serta perbincangan lanjut bagi merintis potensi kolaborasi strategik antara kedua-dua buah institusi pendidikan tersebut. Pihak universiti turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran program ini.













