TAHNIAH KEPADA 21 PELAJAR UCAM!
Sekalung tahniah diucapkan kepada 21 orang pelajar Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) yang telah terpilih menyertai Program Training of Trainers (ToT) STEM. Program selama dua hari ini telah berlangsung pada 21 hingga 22 Jun 2026 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Sepanjang program ini, para pelajar telah mengikuti sesi teori serta latihan hands-on yang dikendalikan sepenuhnya oleh barisan Mentor BITARA STEM UKM. Latihan ini tertumpu kepada empat unit utama, iaitu:
- Urban Infrastructure
- Energy
- Wireless Communication
- Transportation
Kesemua unit ini digabungkan dalam satu misi besar bagi membangunkan konsep “Smart Industry” melalui pendekatan STEM yang kreatif, inovatif dan berimpak tinggi.
PERSEDIAAN FASILITATOR KARNIVAL TVET MELAKA 2026
Penyertaan ini merupakan persediaan awal bagi melahirkan fasilitator STEM UCAM-UKM yang bakal bertugas dalam Pertandingan Inovasi Industri Pintar (i-Pintar) bersempena Konvensyen Karnival TVET Melaka 2026 di MITC pada 10 dan 11 Julai nanti. Pertandingan tersebut dijangka akan melibatkan penyertaan lebih 80 orang pelajar sekolah yang akan dibimbing secara langsung oleh barisan fasilitator ini.
Selain memperkukuhkan pengetahuan dalam bidang STEM, program ini turut memberi pendedahan kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengajaran dan kerja berpasukan. Pengalaman ini adalah amat selari dengan aspirasi UCAM dalam mengintegrasikan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) demi melahirkan graduan yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan.
KOLABORASI SULUNG UCAM DAN UKM
Program ini merupakan kolaborasi pertama antara UCAM melalui Research and Innovation Management Centre (RaIMC) bersama pihak STEM UKM. Delegasi UCAM telah diketuai oleh Dr. Wan Nur Madihah Wan Abd Halim, selaku Pengarah RaIMC merangkap Mentor STEM UKM.
Diharapkan kerjasama strategik yang terjalin ini akan terus membuka lebih banyak peluang kepada para pelajar UCAM untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan STEM negara. Tahniah dan syabas diucapkan!













