YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, telah merasmikan Ekspo TVET@KKDW 2025 yang berlangsung di Ipoh Convention Centre (ICC), Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Dalam ucapan perasmian beliau, YAB Timbalan Perdana Menteri menegaskan komitmen KKDW sebagai pemacu utama agenda TVET nasional, dengan rangkaian 281 institusi TVET, menjadikannya rangkaian terbesar di Malaysia.
Antara intipati penting ucapan beliau:
- KKDW tampil sebagai peneraju utama agenda TVET negara dengan jaringan institusi terluas melibatkan pelbagai bidang kemahiran.
- Semua kementerian pelaksana perlu bergerak seiring dan bersepadu di bawah Majlis TVET Negara bagi menjadikan TVET sebagai pemacu sebenar kemajuan negara.
- Kadar kebolehpasaran graduan TVET kini mencapai 95.1%, manakala lebih 53.5% pelajar lepasan sekolah memilih laluan TVET.
- Penekanan terhadap inklusiviti TVET, memastikan semua lapisan masyarakat termasuk belia luar bandar dan anak-anak Huffaz mendapat peluang sama rata melalui inisiatif TVET GIG dan TVET Tahfiz.
- Kejayaan Malaysia dalam WorldSkills ASEAN 2025 di Manila dengan kutipan 13 pingat emas, 4 perak dan 3 gangsa, sebahagian besarnya disumbang oleh pelatih GIATMARA, IKM, MJII dan UniKL.
- Fokus KKDW terhadap pembangunan teknousahawan TVET yang mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan serta penggerak ekonomi baharu.
Selain majlis perasmian, ekspo ini turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti pameran institusi TVET, pertandingan kemahiran, demonstrasi industri, sesi padanan perniagaan, biz pitching, program teknousahawan serta pengambilan terbuka — memberi peluang kepada masyarakat luar bandar meneroka potensi TVET sebagai pemangkin ekonomi dan mobiliti sosial.
Edisi ketujuh penganjuran Ekspo TVET@KKDW ini menghimpunkan lapan agensi utama di bawah KKDW termasuk KEMAS, JAKOA, MARA, RISDA, PERDA, KEDA, KETENGAH dan FELCRA Berhad, serta 14 institusi pendidikan dan latihan TVET seperti UniKL, GMI, MJII, KKTM, IKM, GIATMARA, UCAM, AKK, Kolej RISDA, PERDA-TECH, Kolej KEDA, Kolej KETENGAH dan Kolej FELCRA.