Pada 29 Julai, delegasi dari Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) telah mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat CyberSecurity Malaysia di Cyberjaya. Pertemuan ini merupakan kunjungan balas susulan daripada lawatan terdahulu pihak CyberSecurity Malaysia ke RISDA, sebagai usaha meneruskan perbincangan strategik berhubung kerjasama dalam aspek keselamatan siber di peringkat komuniti luar bandar.
Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji AmirudinAbdul Wahab FASc dan melibatkan perbincangan pelbagai perkara penting berkaitan potensi pelaksanaan Kursus Keselamatan Siber Komuniti yang bakal dianjurkan oleh UCAM dengan sokongan pelbagai pihak berkepentingan.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah perancangan awal bagi melaksanakan program kesedaran keselamatan siber khusus untuk komuniti luar bandar, selaras dengan usaha meningkatkan literasi digital dalam kalangan masyarakat akar umbi.
Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada penggubalan kandungan modul micro-credential UCAM yang bersifat praktikal, mudah diakses dan relevan dengan cabaran siber semasa yang dihadapi oleh pengguna teknologi di peringkat komuniti.
Kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan mewujudkan kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan agensi keselamatan digital negara, dalam usaha membentuk ekosistem pembelajaran berterusan yang menyokong keselamatan digital dan kemajuan teknologi secara inklusif.
Lawatan ini diharapkan menjadi permulaan kepada satu usaha berimpak tinggi dalam memperkasa komuniti luar bandar agar lebih bersedia menghadapi risiko keselamatan digital dan seterusnya melahirkan masyarakat celik siber yang mampu memanfaatkan teknologi dengan selamat dan beretika.