October 11, 2025

Ekspo TVET@KKDW 2025 catat sambutan luar biasa

Peluang kerjaya dan latihan tvet 2025

Ekspo TVET@KKDW 2025 melabuhkan tirainya hari ini dengan mencatat kehadiran luar biasa seramai 333,560 pengunjung secara fizikal dan dalam talian — melepasi sasaran asal sebanyak 300,000 orang.

Bertemakan “TVET Masa Depan: Berkemahiran, Berinovasi, Berteknologi Tinggi,” edisi kali ini menampilkan pelbagai inovasi dan teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI), robotik, dan digitalisasi, hasil kolaborasi strategik antara agensi, institusi latihan dan industri di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Penganjuran tahun ini turut menyaksikan penyertaan lebih 70 pempamer, terdiri daripada agensi kerajaan, rakan strategik industri, institusi latihan awam dan swasta serta teknousahawan. Mereka menawarkan pelbagai peluang latihan kemahiran serta lebih 2,400 kekosongan kerjaya kepada golongan belia, khususnya dari kawasan luar bandar.

Antara pertandingan utama yang mendapat perhatian ramai ialah Filem Pendek AI, Fashion-Techno, Robattle, Operasi Dron dan e-Sport, yang berjaya menarik minat pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat. Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

KKDW kekal komited untuk memperkukuh agenda pemerkasaan TVET sebagai pemacu kemajuan dan mobiliti sosial negara, melalui pendekatan bersepadu dan bersinergi antara pelbagai agensi dan sektor industri — seiring aspirasi Malaysia MADANI.

Sumber – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah

Artikel Berkenaan